Kota Bharu :
Kerajaan Kelantan akan melancarkan dirham bagi melengkapkan penggunaan Emas Dinar Kelantan dan ia akan diperluaskan ke negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Dato' Husam Musa berkata, pelancaran dirham akan dibuat selepas Ramadhan ini.
"Ini merupakan sebahagian usaha untuk melicinkan proses pelaksanaan konsep negara berkebajikan. Pelancaran akan dibuat selepas Ramadhan ini."
"Serentak dengan itu kerajaan negeri akan melancarkan kad elektronik dinar dan dirham untuk kemudahan rakyat menggunakan dinar dan dirham," katanya pada Persidangan NGO-NGO Negeri Kelantan di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, penggunaan dinar dan dirham adalah lebih selamat berbanding wang kertas yang nilainya turun naik mengikut kehendak psaran.
"Walaupun dolar Amerika jatuh tetapi dinar kita akan naik," katanya.
Husam juga menjelaskan tentang konsep negara kebajikan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat.
Negara kebajikan, ujarnya bukan merujuk kepada bantuan kebendaan kepada rakyat semata-mata, bahkan lebih luas daripada itu.
"Negara berkebajikan menangani apa saja isu dan permasalahan anggota masyarakat, bukan saja dengan bantuan kewangan tetapi juga kaedah-kaedah lain."
"Dalam Islam, bantuan diberikan kepada orang miskin bukan berdasarkan kepada bangsa bahkan berdasarkan status ekonomi mereka."
"Faktor kaum diberikan perhatian sama rata berdasarkan keperluan, keprihatinan dan kesusahan," katanya.
*dipetik dari Harakah keluaran 1-4 September 2008.





Tiada ulasan:
Catat Ulasan